Thursday, May 28, 2009

Chin Peng Pejuang Kemerdekaan Kaum Cina


Isu bekas Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng belum selesai. Seingat penulis sejak 2001 isu ini sudah dibangkitkan oleh cendekiawan dan ahli politik dari kaum Cina. Mereka mahu Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia selari dengan perjanjian damai Malaysia - PKM.

Mereka tidak pernah menjelaskan kepada umum bahawa syarat perjanjian yang membenarkan ahli PKM pulang ke Malaysia bersyarat yang antara lain perlu mendapat kelulusan kerajaan Malaysia dan perlu menjalani proses pemulihan.

Memang benar beliau rakyat Malaysia tetapi apakah kerana beliau rakyat Malaysia maka kekejaman beliau harus dimaafkan begitu sahaja? Setiap orang berhak memohon kemaafan dan kita pun perlu memaafkan mereka yang insaf. Namun memaafkan Chin Peng tidak sama dengan membenarkan beliau pulang ke Malaysia.

Sudah tidak terkira jumlah kekejaman Komunis Malaya terutamanya sekitar Darurat 1960. Berapa ramai yang terbunuh, cacat dan hilang keluarga kerana Chin Peng mahu Malaya merdeka mengikut jalan negara ibundanya China iaitu melalui ideologi komunis.

Chin Peng mungkin lahir di Tanah Melayu namun beliau bukan rakyat Malaysia. Beliau tidak mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957. Beliau melancarkan pemberontakan bersenjata ke atas negara ini. Ini bermakna beliau menolak persetujuan antara kaum ketika itu mengenai hak kewarganegaraan kaum pendatang dari China dan India.

Mengapa Chin Peng ingin pulang ke Malaysia ketika sebahagian besar generasi yang terseksa dengan ancaman komunis sehingga tahun 1980-an masih mengingati kekejaman kumpulannya?

Chin Peng hanya ingin memenuhi agenda yang belum terlaksana iaitu meletakkan peranan besar MPAJ (Malayan People Anti Japanese) dan PKM sebagai salah satu tunjang perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pemimpin kaum Cina yang begitu ghairah mahu Chin Peng dibenarkan pulang juga ingin mengambil kesempatan mengiktiraf perjuangan Chin Peng untuk membenarkan dakwaan bahawa orang Cina juga memainkan peranan besar memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Orang Cina di negara ini ingin menulis semula sejarah. Mereka tercari-cari ikon untuk menjustifikasikan sumbangan mereka dalam kemerdekaan negara bagi menolak peruntukan-peruntukan Perlembagaan semasa merdeka mengenai kedudukan orang Melayu, bumiputera, agama Islam dan raja-raja Melayu.

Selama ini mereka terpaksa menerima fasal-fasal dalam Perlembagaan tersebut kerana sejarah dengan jelas bahawa orang Melayu sahaja yang banyak mengorbankan jiwa raga menuntut kemerdekaan negara ini. Mereka tiada pilihan kerana semasa Tanah Melayu akan merdeka mereka masih dianggap kaum pendatang di bawah tanggungjawab dan kerakyatan British.

Justeru mereka mahu Chin Peng diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.

Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan. Beliau hanya memperjuangkan nasib kaum Cina di Tanah Melayu. Malah agenda Chin Peng lebih besar ialah meluaskan pengaruh Tanah Besar China di rantau Asia.

Anehnya, sudah ada Melayu generasi muda yang percaya manusia seperti Chin Peng ini pejuang kemerdekaan negara.

Chin Peng menentang Jepun bukan kerana penjajahan ke atas Tanah Melayu tetapi kerana jepun menyeksa orang Cina. Lebih besar agendanya ialah beliau menentang Jepun juga kerana Jepun adalah musuh Tanah Besar China. Kiblat Chin Peng dan Parti Komunis Malaya sentiasa ke Tanah Besar China.

Apabila tanah air ini merdeka, Chin Peng menolak kemerdekaan ini kerana beliau tidak mahu berketuakan orang Melayu. Beliau mahu Tanah Melayu merdeka mengikut acuan Tanah Besar China. Beliau bukan memperjuangan kemerdekaan tetapi memperjuangkan ideologi komunis untuk bertapak di negara ini. Lebih besar lagi beliau memperjuangkan kepentingan negara China.

Ideologi komunis ini juga beliau perjuangkan bukan kerana beliau percaya kepadanya tetapi kerana inilah ideologi Tanah Besar China, kiblat utama beliau. Jika di tanah nenek moyangnya ketika itu membawa Islam nescaya Chin Peng akan membawa perjuangan Islam.

Rundingan damai diadakan setelah Chin Peng sendiri melihat dalam dunia moden, Tanah Besar China sendiri sudah berubah dan tiada lagi sekutu-sekutu kuat seperti dahulu. Dengan kata lain, China sendiri tidak lagi mengamalkan sistem negara-negara sekutu seperti zaman Perang Dingin dahulu. Jadi tiada lagi kepentingan Tanah Besar China di Malaysia.

Apakah ini kita panggil rakyat Malaysia?

Mahkamah membuat keputusan tepat menolak permohonan pulang Ching Peng. Anehnya mengapa orang melayu seperti Raja Aziz Adruse sanggup menjadi Peguamnya dan Amir Muhammad dengan filem-filem mengangkat Komunis secara tersirat dan tersurat?

Kita boleh berkata Melayu seperti Rashid Maideen dan Abdullah CD terkeliru dengan perjuangan komunis malaya ketika itu dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Tapi bagi orang seperti Raja Aziz dan Amir Muhammad, sukar kita tafsirkan agenda mereka.

Jika orang Cina bersungguh-sungguh memperjuangkan isu Chin Peng kerana mencari ikon pejuang kemerdekaan negara, kita tertanya-tanya apa yang dicari oleh Raja Aziz dan Amir Muhammad? Wang, populariti dan kebencian kepada agenda perjuangan Melayu?


No comments: